Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,
Sebelum saya memulakan bicara, terlebih dahulu saya ingin
memohon maaf kepada pihak tuan yang barangkali akan rasa kurang senang dengan
komentar yang akan saya utarakan kepada pihak tuan ini. Namun, sebagai rakyat
yang prihatin dan bertanggungjawab, saya rasa ianya tidak dapat tidak perlu
diluahkan mengikut saluran yang betul seperti ini demi kepentingan sejagat
apatah lagi dalam usaha kita meneroka ke arah negara maju dan bertamadun.
Perkara yang menjadi subjek utama komentar saya ini adalah
berkaitan dengan 'kualiti' kandungan penerbitan akhbar perdana tuan (Utusan
Melayu). Akhir-akhir ini, saya melihat kandungan akhbar tuan agak keterlaluan
dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada masyarakat. Sebagai akhbar
perdana, pihak tuan pastinya sedar bahawa akhbar tuan menjadi tatapan segenap
lapisan masyarakat tidak kira di luar bandar mahupun bandar, peringkat umur dan
perbezaan fahaman politik. Saya sendiri merupakan salah seorang daripada
pembaca akhbar tuan. Justeru, kandungan berita atau laporan yang dinyatakan
perlu juga mengambil kira impak dan implikasinya terhadap individu, keluarga,
masyarakat dan negara.
Sebagai rakyat Malaysia, saya juga sedar betapa medan
politik merupakan medan 'panas' dan cukup sensitif. Namun, amat mengecewakan
sekiranya akhbar perdana dijadikan saluran utama menjadi medan provokasi pihak
tertentu tanpa melihat kesan jangka masa panjang terhadap pembentukan masyakat
dan negara Malaysia. Sebagai contoh, akhbar tuan yang bertarikh 2 Mei 2012 yang
memaparkan berita utama 'front page' bertajuk 'Azmin Nafi skandal Seks' dilihat
sebagai penerbitan media yang tidak menjunjung nilai intelek dan amalan
integriti.
Saban hari, guru di sekolah berusaha mendidik anak bangsa
dengan penerapan nilai-nilai murni, berpegang teguh kepada agama dan mempunyai
jati diri yang unggul. Namun, jika saban hari juga mereka didedahkan dengan
'bahan bacaan' dengan paparan-paparan yang tidak bermoral sekalipun bertujuan
mendedahkan 'kebenaran' yang masih dalam siasatan saya kira saban hari juga
masalah sosial akan terus berleluasa. Di sekolah atau di perpusatakaan sekolah
saya kira akhbar tuan memang menjadi bahan bacaan umum berbanding dengan akhbar
seperti Harakah, Suara Keadilan dan sebagainya. Oleh kerana itulah, saya
berharap agar, akhbar tuan melihat isu ini dengan lebih serius dalam
menyampaikan maklumat yang beretika kepada umum.
Bersama-samalah kita membentuk sebuah tamadun bangsa
Malaysia yang bermoral dan beretika selaras dengan hasrat kerajaan sejak
'dahulu' lagi ingin membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, bermoral dan
berakhlak mulia. Bahan media cetak seperti tuan yang saya anggap bacaan segenap
lapisan masyarakat jangan terlalu mengutamakan kepentingan 'sendiri' untuk
mencapai sesuatu tanpa mengira batas-batas paparan. Matlamat tidak menghalalkan
cara.
Sekali lagi, sebelum saya menutup komentar ini saya memohon
maaf kepada pihak tuan dan berharap pihak tuan mengambil serius akan isu ini.
Kadangkala perubahan angin masyarakat terutamanya golongan mahasiswa kerana
jelek dan mual dengan berita yang terlalu berbaur politik semata-mata.
Sekian, terima kasih.
Ikhlas daripada,
terus peringatkan mereka... kerana manusia ni kena selalu diperingatkan... :)
ReplyDeletedunia makin tua.. semua perkara dipandang ringan~~
ReplyDelete