Tuesday, July 3, 2012

Sambutan Hari Guru 2012



Barisan pensyarah-pensyarah IPG Kampus Darulaman

         Pada 20 Jun 2012, satu majlis Sambutan Hari Guru peringkat IPG Kampus Darulaman telah diadakan bertempat di Dewan Besar IPG  Kampus Darulaman dengan tema "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai jasa-jasa pendidik di Institut terutamanya para pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada bakal-bakal guru di IPG Kampus Darulaman.


          Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

          Majlis bermula sebaik sahaja perarakan masuk oleh Tuan Haji Mustafa bin Ahmad selaku Pengarah IPG Kampus Darulaman diiringi oleh Tuan Haji Hashim bin Asman, Timbalan Pengarah IPG Kampus Darulaman, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang serta Ketua-Ketua Jabatan dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar sesi 2012/2013.

         Majlis diteruskan dengan bacaan doa yang diketuai oleh saudara Mohd Iqbal bin Shahidan selaku Pengerusi Biro Kerohanian, Moral Dan Disiplin. Majlis disusuli dengan bacaan perutusan daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Darulaman, Tuan Haji Hashim bin Asman. Perutusan YB Menteri Pelajaran pula dibacakan oleh Tuan Haji Mustafa bin Ahmad selaku Pengarah IPG Kampus Darulaman.


Bacaan perutusan oleh Timbalan Pengarah

Bacaan perutusan oleh Pengarah


         Seusai bacaan perutusan, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar Hari Guru oleh saudara Mohd Zulqarnain bin Abdul Rahman selaku Pengerusi Biro Perhubungan Domestik dan Antarabangsa. Majlis kemuncak dijayakan dengan gimik perasmiaan Hari Guru dengan terhasilnya 100 keping kad Ucapan Hari Guru sebagai tanda perhargaan kepada pihak pensyarah yang banyak mencurahkan ilmu. Kemudiannya tayangan video ucapan khas oleh pelajar-pelajar IPG Kampus Darulaman.

Kumpulan Qasidah


         Majlis diserikan lagi dengan persembahan pelajar oleh kumpulan Qasidah Anwarul Mustofa sebelum bermulanya Forum Bicara Hari Guru yang bertajuk "Guru Jutawan Akhirat : Antara Kuah dan Qudwah". Forum ini dijayakan oleh 2 ahli panel terkenal iaitu Tuan Syeikh Yusoff bin Haji Ahmad,  Tuan Syeikh Mohd Isa Abdul Rahman dan dimoderatorkan oleh Ustaz Hafedz bin Salleh, pensyarah IPG Kampus Darulaman.



Forum Bicara Hari Guru


         Majlis tamat pada jam 1.00 petang dan semua pelajar menjamah selera jamuan ringan yang disediakan oleh pihak Institut.

         Majlis diteruskan pada jam 2.30 petang dengan acara sukaneka antara pelajar dengan pensyarah. Sebanyak 4 pertandingan dipertandingkan bagi merapatkan hubungan silaturrahim di antara pelajar dan pensyarah. Antara permainan yang dipertandingkan ialah pertandingan menganyam ketupat, bowling kelapa, kapal terbang kertas dan basikal lambat.


Pertandingan menganyam ketupat


SELAMAT HARI GURU !!!

Monday, July 2, 2012

Ucapan Khas Pelajar IPGK Darulaman Sempena Hari Guru 2012



Video sempena Sambutan Hari Guru IPG Kampus Darulaman 2012

Peranan JPP mengikut Akta 174



"Akta 174 menyatakan bahawa peranan seseorang anggota Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) ialah :

(a) membantu dan menggalakkan, tertakluk kepada arahan Ketua Eksekutif (Pengarah), kemajuan kemudahan-kemudahan bagi pelajar-pelajar seperti kemudahan-kemudahan rekreasi dan pembekalan makanan dan minuman;

(b) membuat rayuan kepada Ketua Eksekutif mengenai perkara-perkara berhubung dengan keadaan-keadaan dalam mana pelajar-pelajar tinggal dan belajar,

(c) mengusahakan apa-apa aktiviti lain sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Eksekutif dari semasa ke semasa;

(d) untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar Institusi; dan

(e) membantu pihak berkuasa Institusi memelihara disiplin pelajar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...