Showing posts with label Info Sihat. Show all posts
Showing posts with label Info Sihat. Show all posts

Wednesday, June 13, 2012

Relaks Dengan Info Sihat #6#

Assalamualaikum dan salam Kedah sejahtera.

Agak lama tidak dikongsi tip-tip kesihatan dengan pembaca sekalian. Baiklah, pada kali ini, sambil-sambil kita berehat dan kembali semula ke IPG dengan azam yang baru serta wajah yang ceria, jom kita baca dan amalkan tip untuk mengekalkan kecantikan kulit menggunakan bahan semula jadi!

Kentang

Sesiapa sahaja antara kita amat menggemari kentang, terutamanya untuk mengalas perut di saat perut berkeroncong. Namun, tahukah anda bahawa kentang boleh digunakan sebagai salah satu bahan semula jadi untuk mencantikkan kulit wajah? Sayuran ini mengandungi potasium, zat besi, karbohidrat serta Vitamin A, B dan C, yang mana menjadi pelengkap kepada bahan antioksidan dan memperlahankan proses penuaan. Masker kentang sesuai untuk golongan yang mempunyai masalah kulit yang berminyak dan berjerawat.
Caranya:
- Buang kulit kentang.
- Kisar.
- Sapu pada bahagian kulit berjerawat. ( 2x seminggu, selama 30 minit)
- Cuci dengan air suam.

Pisang

Baiklah, siapa yang tidak kenal pisang? Selain enak dijadikan sebagai pengat dan kuih-muih, jangan terkejut buah ini sangat baik untuk mengatasi kedutan kulit. Kulit wajah akan menjadi lebih lembap dan tegang. 
Caranya:
- Lenyekkan isi pisang.
- Tambahkan minyak zaitun atau madu pada pisang yang telah dihancurkan.
- Sapu pada wajah. Biarkan selama 30 minit.
- Bersihkan wajah dengan menggunakan kapas yang dibasahi dengan air suam.

Setakat ini sahajalah perkongsian ilmu pada kali ini. Cubalah ya! Semoga hari-hari anda yang mendatang dihadapi dengan wajah yang ceria, hati yang tenang dan kesabaran yang tinggi kerana dugaan mematangkan dan mengajar kita. Elakkan tekanan untuk kesihatan yang unggul.


(Sumber: Harian Metro, Khamis, 16 Februari 2012)

Sunday, April 1, 2012

Relaks Dengan Info Sihat #5#

Assalamualaikum & salam sejahtera.
Kami kembali dengan info sihat yang seterusnya. Sementara menanti tugasan siap, menunggu tibanya hari esok untuk ke kuliah, rehatkan minda dengn tips-tips yang selama ini kita ketepikan.

Susu Rendah Lemak: Tidak Sedap Lawan Kebaikan?


Siapa kata susu rendah lemak tidak sedap? Sedap tahu! Kebaikan mengambil susu rendah lemak tersebut dapat membantu menguatkan tulang dan pada masa yang sama melengkapkan keperluan nutrisi tubuh dan menurunkan berat badan anda? Jadi, sesiapa yang tidak berminat itu, cubalah dahulu ya! Enak dan kurang berkrim.

Minuman Masam

Penulis percaya ramai yang suka dengan minuman masam, terutama di saat tekak rasa mual. Seandainya jawapannya ya, anda tergolong dalam kalangan yang bijak kerana minuman yang masam seperti jus oren dan air limau nipis akan menggalakkan pembakaran lemak. Lebih bagus jika dikurangkan gula. Namun harus diingat, minum minuman masam itu dengan perut yang terisi ya! "Abang, jus oren kurang gula dua!".


Mengamalkan gaya hidup sihat adalah sangat wajib dalam kehidupan kita seharian. Namun kita haruslah bijak menilai dan mengamalkannya kerana setiap individu memerlukan cara yang berbeza untuk sihat. Ikut panduan yang betul dan jangan sekadar mengetahui sesuatu maklumat secara rambang.
Akhir kata, sayangi diri anda dan jaga kesihatan anda ya!

Friday, March 30, 2012

Relaks Dengan Info Sihat #4#

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Baiklah, sempena dengan Kempen IPDA Lestari: Gaya Hidup Sihat, suka sekali untuk dikongsi dengan seluruh warga IPG Kampus Darulaman dan pelawat blog ini beberapa menu sihat. Siapa tidak pernah dengar atau tidak tahu pun makanan yang dipanggil 'kerabu'? Bukan nasi kerabu tahu!
Jom, sama-sama lihat dan pilihlah ya! Ops, jangan risau ya! Kerabu ini tidak perlu dimasak menggunakan kuali atau dapur. Sambil tengah sibuk dengan tugasan, boleh saja sediakan bahan-bahan dan makan!

Kerabu Kacang Botol

Kepada sesiapa yang tidak mengenali kacang botol, inilah rupa ulam yang enak, rapuh dan mudah dijaga. Lagi enak kalau dicicah dengan budu!

Bahan-bahan
- 5 batang kacang botol
- 1 - 2 batang serai
- 3 - 4 cili padi
- 1 biji bawang besar
- 1 batang bunga kantan
- 2 biji limau nipis
- Kerisik
- Garam

Cara Menyediakan
- Hiriskan semua bahan di atas.
- Masukkan ke dalam mangkuk.
- Masukkan sedikit garam dan kerisik.
- Gaulkan kesemua bahan yang telah dicampur.
- Perahkan sedikit limau nipis untuk menambahkan rasa masam.
- Sediakan dan makan sambil  tengok drama..~

Apakah khasiat kacang botol yang menghijau ini? Jika dibandingkan dengan sayuran kekacang yang lain, kacang botol mengandungi protein yang lebih tinggi.

Kerabu Ulam Selom

Bagi golongan muda pada hari ini, ulam selom mungkin tidak popular. Mungkin antara pembaca sendiri ada yang tertanya-tanya. Bagaimanakah rupa dan bentuk ulam selom?
Ingat tak? Mudah sahaja untuk dicari di pasar malam. Salah satu kebaikan ulam selom ini adalah air rebusannya boleh dijadikan penawar untuk demam panas, selesema dan kencing berdarah. Jom, kita cuba resepi di bawah!

Bahan-bahan
- 2 ikat daun selom (potong 2 inci)
- 1 - 2 batang serai (dihiris)
- 1 biji bawang besar (dihiris)
- 1 batang bunga kantan (dihiris)
- 2 biji limau nipis
- Garam secukup rasa

Cara Menyediakan
- Basuh daun selom hingga bersih.
- Campurkan semua bahan yang dihiris tadi ke dalam satu bekas dan letakkan sedikit garam.
- Gaulkan.
- Perahkan asam limau untuk rasa masam.
- Sediakan dan nikmati bersama-sama rakan.

Akhir kata, selamat mencuba! 

Monday, March 26, 2012

Relaks Dengan Info Sihat #3#

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.

Info Ringkas ini adalah perkongsian pengetahuan yang ringkas dan pantas mengenai topik utama yang dipilih. Adakah benar mengambil air putih secara berlebihan bahaya kepada kita? Bukankah kita digalakkan minum air putih? Mungkin ada di antara anda yang keliru dan sebaliknya.

Sememang meminum 8 gelas air putih  dalam sehari digalakkan untuk menyingkirkan toksik dari tubuh. Ramai yang melakukan terapi air putih, malangnya dengan cara yang salah. Sekiranya air putih diambil secara berlebihan, air yang diminum akan diserap ke saluran pencernaan dan masuk ke pembuluh darah. kesannya, isipadu darah semakin bertambah dan sekali gus akan membebankan fungsi jantung dan ginjal. Hal ini kerana jantung bagaikan dipaksa untuk mengepam darah dengan lebih cepat dan ginjal didesak untuk mengeluarkan cairan dengan lebih cepat.

Kesimpulannya, jangan minum air putih sehingga 1.5 liter sekaligus. Bersederhanalah dalam segala hal.
Akhir kata, jagalah kesihatan anda dan sebagai bakal pendidik, kita harus bijak menilai perkara yang terbaik untuk diri kita sendiri.

Sumber: Majalah Rapi (Februari 2012)

Sunday, March 25, 2012

Relaks Dengan Info Sihat #2#

Assamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Sekali lagi, jom kita berkongsi ilmu mengenai info kesihatan yang ringkas tetapi penuh makna dan padat.
Pada kali ini, kita lihat beberapa maklumat mengenai diet. Kaum Hawa memang sinonim dengan perkara ini! 

1. Kiwi. Siapa tidak kenal kiwi? Sekarang kita bercakap mengenai buah kiwi tau! Bukan burung kiwi. Mungkin ada di antara kita tidak menggemari rasa buah ini tetapi buah yang berwarna hijau ini mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Serotonin dalam buah kiwi mampu menenangkan. Karotin, antioksidan termasuklah vitamin C dan E pula membantu mencegah pengoksidaan kolestrol baik (HDL).
2. Senaman aerobik merupakan salah satu senaman yang tidak asing lagi bagi kita, terutamanya bagi generasi muda pada masa kini. Lakukan senaman aerobik sekurang-kurangnya 20 minit pada satu sesi dan empat hingga lima kali seminggu. Jadikan ia sebagai satu senaman yang rutin. Mungkin ada yang malu untuk melakukan senaman aerobik kerana pasti kita akan terbayangkan pergerakan yang diiringi muzik dan kita berjoget. Tidak! Berjalan cepat, berlari atau berbasikal juga dikira sebagai senaman aerobik!

3. Aiskrim dan makanan ringan. Wah, terbayangkan sahaja makanan segera itu, mulut kita pasti akan berair dan nafsu makan kita memuncak! Kurangkan mengambil makanan ringan dan aiskrim kerana anda akan menjadi ketagih untuk mengunyah.


4. Tidur dan diet saling berkaitan. Bagaimana? Penelitian yang dilakukan oleh pihak Universiti Chicago baru-baru ini merumuskan bahawa metabolisme wanita akan meningkat sebanyak 40% jika mereka tidur dengan cukup. Buat kaum Hawa, baca elok-elok! Tidur dengan CUKUp, bukan dengan LEBIH! 




Setakat ini sahajalah perkongsian ilmu pada kali ini. Selamat bergembira dan kepada rakan-rakan yang terlibat dengan Bina Insan Guru, semoga berjaya.

Sumber: Majalah Rapi (1 Februari 2012)

Friday, March 23, 2012

Relaks Dengan Info Sihat #1#

Assalamualaikum & salam 1 Malaysia.

Dalam kita sibuk menguruskan hidup kita di IPG ni, jom rehat dan bersantai dengan info kesihatan!
Kalau selama ini kita anggap sesuatu perkara tu tidak berfaedah, sebaliknya pada aspek perubatan ia penting dan memberi manfaat kepada kita.


  1. Tahukah anda, pada setiap 12cm persegi lantai yang kita pijak ini, kadang-kadang kita berguling-guling menyiapkan tugasan, terdapat kira-kira 200,000 bakteria? Ini bukan bicara kosong sahaja, tetapi ini adalah hasil keputusan kajian yang telah dilakukan oleh pihak Universiti Arizona, Amerika Syarikat. Cuci lantai selalu. Ada berani nak golek lebih-lebih?
  2. Pakar diet. Juliette Kellow menyatakan bahawa aktiviti membersihkan rumah selama 2.5 jam sehari mempunyai manfaat yang sama baiknya dengan bersenam di gim. Wah! Jadi pada kaum lelaki, buatlah pilihan, samada pergi bersenam di gim atau mengemas bilik anda pada hujung minggu? 
  3. Siapa tidak kenal timun? Biasanya timun dihidangkan bersama-sama dengan sate tetapi pernah atau tidak anda tidak makan pun timun itu? Jika ya, anda seorang yang rugi! Sate yang dibakar mengandungi karbon yang boleh menyebabkan kesan karsinogen, iaitu penyebab barah. Manakala timun pula adalah anti-karsinogen itu! Jadi, kalau pergi kedai jangan minta kuah atau nasi himpit lebih, tetapi,"Mak cik, timun lebih ya!.
  4. Sentiasa senyum sekalipun anda tertekan dilanda masalah. Kenapa? Apabila kita senyum, secara tidak langsung muka kita melakukan satu senaman yang berbentuk joging dalaman. Anda senyum, badan anda pun akan 'senyum' dan aliran darah yang melalui sinus ke otak akan menjadi perlahan. Ia sangat bagus mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak. Jadi, senyumlah biarpun anda tiada gigi!
Tengok, adik ni pun nak senyum!

Sate! Enakkan?

Baiklah, setakat ini sahaja dulu ya perkongsian maklumat untuk Relaks dengan Info Sihat.

Banyak lagi yang ingin dikongsi dengan warga IPGK Darulaman dan semua pembaca.
Selamat berhujung minggu!

Sumber: Majalah rapi (1 Februari 2012)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...